Siapa tak suka melihat diri sendiri dalam cermin? Kalau cantik, duk tersengih-sengih memuji diri. Kalau buruk, renung sampai tembus cermin, kenapa tak cantik macam yang lain?.
Melihat diri dalam cermin ada banyak sebab; sebab untuk obses diri atau sebab untuk benci diri. Ada yang tengok dalam suka. Ada yang tengok dalam terpaksa.
Sama ada suka atau tidak untuk cermin diri sendiri, yang pasti kekerapan melihat cermin setiap hari memang tinggi.
Tak guna untuk menafi. Tipu kalau kata tak. Sedangkan setiap pagi, muka ditelek di bilik mandi, di kamar tidur, di dalam kereta, di dalam tandas, di dalam kantor mahupun di tepi-tepi eskalator. Pantang nampak cermin, kepala mesti menoleh.
Jadi, kenapa aku suka merenung ke dalam cermin? Untuk memuji kulit bebas cela atau mengutuk hitamnya warna? Atau juga untuk bangga dengan tubuh badan atau berduka dengan keberatan diri?
Hakikatnya, melihat perubahan menjengkelkan, aku sering memaki diri di depan cermin. Itu tidak kena, itu juga salah. Dulu mulut bising kerana diri umpama tulang berjalan, tetapi sekarang lebih bising bila umpama tong dram berguling. Padan muka kau, dulu siapa suruh enggan bersyukur.
Tetapi bila aku diam, merenung cermin dalam-dalam, ada yang lebih penting dari mengadu kurang sana sini, kerana waima sepuluh tahun lagi pun ia tidak akan usai jika kita terus duduk membising tanpa usaha, tanpa tindakan.
Aku perlu ubah. Dari kaki 'complain' ke kaki berterima kasih. Dari kaki tahu bising ke kaki tahu buat kerja. Dari si pemalas ke si ligat. Dari meminta-minta ke si berusaha.
Nak cantik perlu usaha. Nak kurus perlu usaha. Nak sihat perlu usaha. Nak berjaya juga perlu usaha. Sukses tak terpacul depan cermin kau begitu sahaja.
Dan seperti pantulan cermin, aku perlu merenung lebih dalam lagi bagi melihat siapa di belakang aku yang sedang mentertawakan, memasang tanduk dan sedang menjelir lidah. Juga mereka yang sedang bersedia untuk menjerut leher dan menikam pisau agar aku rebah.
Kerana selama ini kita terlupa untuk memandang ke belakang. Kita terlupa untuk cermin diri dalam-dalam. Kita terlupa untuk menjaga perasaan orang. Tanpa kita sedari dari 'title' rakan bertukar ke musuh, bertukar ke benci, bertukar ke dengki.
Kita terlupa, kita hidup bukan seorang diri tetapi kita hidup dalam rantaian hubungan yang berselirat dan dalam jalinan hubungan itu, kita tidak tahu apakah topeng yang dipakai mereka dan apakah yang wujud di sebalik topeng-topeng itu.
Normal lah orang busuk hati. Normal lah orang pendengki. Normal lah orang iri hati. Normal jugalah orang tidak senang dengan empunya diri.
Begitu juga bila si tak hensem cuba mengorat si gojes ataupun si tak rupawan testing kenyit mata dengan si tampan, kau sindir "pergi cermin muka tu dulu!" dan bila masing-masing jatuh cinta, kau mencebik, kau pulak kata "tak sesuai, sah dia ni tak cermin diri dulu"
Nampak tak pentingnya cermin diri? Penting buat kau yang tidak lelah mencari silap orang, tidak jemu mencari kekurangan orang dan tidak puas untuk memalukan orang. Barangkali kau yang lupa untuk cermin diri.
Sumpah aku dah lali. Tapi sumpah, aku juga sudah penat. Penat mengadap wajah-wajah mereka yang anti-cermin diri. Dari zaman sekolah hinggalah berkarier, orang-orang begini mengelilingi. Seakan aku tak boleh lari.
No comments:
Post a Comment