Friday 6 September 2013

Bila nak kawen? Bila nak ada anak? Kenapa asyik beranak?

Bila bujang, orang tanya bila nak kahwin?
Bila dah kahwin, orang tanya bila nak ada anak?
Bila dah ada anak, orang tanya bila nak tambah anak?
Bila dan banyak anak, orang tanya bila nak berhenti pulak?

Nampak tak? Soalan cepu emas takkan ada noktah. Bernanah telinga kalau melayan. Bila buat pekak kata takde perasaan.

Lumrah alam. Setiap perlakuan disusur dengan pertanyaan. Setiap tindakan dibalas dengan ketidak puas-hatian.

Ramai betul yang gemar menyelak langsir orang, memberi nasihat walau tak diminta. Memberi tips walau tak ditanya. Mengata macam dunia dia yang empunya.

Bukannya aku benci hidup bermasyarakat, tak pula aku jelak dengan orang terdekat. Lega hati aku kalian ambil berat. Aku sambut molek andai keluarga hulur amanat.

Namun aku bingit dengan mami jarum yang sarat muslihat. Apa hak kau untuk persoal kehidupan orang? Apa layaknya kau menyakiti hati orang?

Mudah sekali orang-orang ini lontar soalan; "dua tahun kahwin takde isi lagi ke?". Tapi bila aku kata 'belum', kenapa tak semudah soalan kau tadi, untuk kau faham jawapan yang aku beri. Untuk kau berdiam diri dan tak payah persoal lagi. Untuk kau henti buat spekulasi sendiri, tambah minyak dalam api.

Lagi wadefaknya, ayat penyata "belum, tak ada, aku hanya mengandung lemak" juga amat liat untuk dihadam oleh golongan yang singkat akal ni. Aku pasti mereka cukup arif dengan Bahasa Melayu, tapi apahalnya tetap nak cuba nasib dengan memegang perut aku?

Kau ni apahal? *Jerit dalam hati* Mujurlah aku reti kawal, kalau tak maki seranah jadi hidangan kau harini. Yang anehnya, yang tangan gatal ni bukannya keluarga rapat atau teman baik sendiri tapi orang-orang yang tak tentu pun bersua muka dengan kau walau setahun sekali.

Teringat aku pada minah bujang yang aku terjumpa kat kenduri kahwin teman, yang kebetulan kawan laki aku, tang-tang tu pegang perut aku walau aku dah jawab dengan jelas BELUM. Baru seminit terjumpa, kau dah pegang perut aku?

Aku juga teringat pada sedara beranak lima. Suri rumah. Duduk di desa. Muda tapi jumud. Dulu masa aku bujang, dia kata "tak guna belajar tinggi, nanti duduk dapur juga". Seorang lagi sedara, juga beranak ramai, gemar sungguh pegang perut aku, sama seperti situasi tadi.

Lain pulak dengan kawan aku si Shanti yang duk satu block dengan aku. Nak beranak yang kelima, orang tanya, "eh baru beranak, dah mengandung lagi?", "tak serik ke beranak ramai?". Realiti dunia keliling, kau tak beranak orang mengata. Kau dah beranak pun orang mengata. Kau beranak ramai lagi lah kena ngata. Susah nak tutup mulut puaka.

Aku tak faham lah. Aku tak faham kenapa. Aku tak faham  dengan si kaki yang etikanya kepoh. Bagai trend yang diwarisi dari generasi ke generasi. Sampaikan yang muda pun jadi pekak hati. Entah, susah sangat ke kalau kau cuba jaga hati orang? Susah sangat ke kalau kau cuba tutup kau punya mulut tempayan?

Aku bahagia dengan hidup aku walau masih hidup berdua. Aku masih lalui momen-momen honeymoon walau dah lebih dua tahun hidup bersama. Tapi kau pulak yang tak bahagia tengok kami bahagia, dah kenapa? Alhamdullilah lah kalau hidup kau bahagia.

Beginilah, kalau setiap tindakan dan nasihat kau benar-benar tulus suci dan bawa kebaikan, teruskan. Aku benarkan. Tetapi kalau sekadar mengguris hati orang, lupakan. Tak usah kau jadi batu api, jadi punca amarah, jadi faktor orang hilang bahagia. Nanti sampai tutup mata kau tak lena.

Apa kata kau doakan sahaja agar mereka dan diri kau juga bertemu bahagia. Doakan sahaja agar mereka bertemu pasangan, kemudian berkahwin, peroleh cahaya mata dan hidup berbahagia. Lebih mulia dari tak henti-henti bertanya soalan yang menjengkelkan.

Untuk aku, baik aku layan lagu ni dari layan si mami jarum. Pekakkan telinga je, hidup kau, bukan hidup mereka!

S.M SALIM - DULU LAIN SEKARANG LAIN


2 comments:

Sky0ne said...

Aku faham apa yang ko rasa sekarang

Duabelasharibulantiga said...

itulah. kita ni ok je. org keliling pulak yg lebih2. takpe sabarlah duhai hati.