Tuesday, 31 August 2010

tolong kami, bantu kami anak-anak yatim piatu!


Rumahku Syurgaku.. istilah ini tidak terkandung di dalam kamus kehidupan anak-anak ini. Mereka tidak punya rumah yang dalamnya ada mereka yang dipanggil ibu, ayah, kakak, abang, adik mahupun nenek dan atuk!

Mereka ditakdirkan hidup tanpa merasai kasih sayang keluarga terutamanya ibu dan ayah sejak kecil lagi. Hakikat itu tentunya bukanlah perkara mudah untuk diterima oleh mana-mana insan termasuk kita apatah lagi di saat usia masih hijau.

Sedar tak oleh kita bahawa hati anak-anak yatim ini tentunya terhiris dan mudah sangat menitiskan airmata apabila melihat kanak-kanak sebaya yang beruntung hidupnya, dibelai dan dimanja oleh ibu bapa mereka. Kan, beruntung sangat kita!!

Namun yang pasti, tanpa kemewahan, kekayaan dan kesenangan dunia, ternyata mereka merupakan insan istimewa yang dibekalkan kecekalan dan kekentalan jiwa untuk mengharung apa saja cubaan dan ujian yang datang. Mereka kuat tidak macam kita!

Kamu tahu tak, jikalau boleh mereka tidak mahu meminta-minta dan merayu simpati, biarlah ditelan sahaja dugaan yang menimpa, malah untuk menyusahkan kamu dan orang-orang lain tidak sesekali. Mereka juga punya maruah dan harga diri.

Tetapi kan, Ramadhan ini seperti Ramadhan-Ramadhan yang sudah, kita dapat lihat banyak sekali organisasi-organisasi besar berlumba-lumba untuk menyumbang kepada rumah-rumah anak yatim sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun makanan dan pakaian.

Tidak kiralah ikhlas atau hanya mahukan publisiti media, (tak mahulah raguikan keikhlasan orang kan), tetapi malangnya kebiasaannya perbuatan murni ini hanya bertahan setakat bulan Ramadhan sahaja.

Apabila tertutup sahaja gerbang Ramadhan dan kemudiannya Syawal, anak-anak ini ditinggalkan dan dilupakan, mereka hidup bagaikan kais pagi makan pagi, menjelang petang, tiada apa lagi untuk dikais! Mereka cuma ada rumah ini untuk bergantung harap yang dijadikan tempat berlindung dan membesar.

Mereka hanya akan disapa pada Ramadhan yang akan datang, dibelikan baju raya, dibawa jalan sini sana, diberi duit raya dan termasuk makan di hotel berbintang lima! Kamu tahu tak mereka tak hadap pun itu semua. Memang mereka perlukan wang untuk makan, untuk belajar dan meneruskan kehidupan tetapi mereka juga mahukan perhatian dan kasih sayang! Dapat makan di gerai kaki lima pun mereka cukup bersyukur tetapi tukang menderma yang gila publisiti itu pula yang kisah.

Bulan-bulan lain pun mereka mahukan perhatian kamu, kasih sayang dan masa, seperti yang kamu tunjukkan pada Ramadhan. Justeru tolong jangan berhenti di situ wahai kamu-kamu! Kitalah keluarga mereka, hanya kita yang mereka ada. :(

Kawan-kawan, baru-baru ini, Phondok Photography yang diketuai oleh Nik Muhammad Hafidz bersama kira-kira 40 lagi tukang tangkap gambar termasuk saya yang menyibuk menjadi tetamu di Rumah Ilham Yayasan Anak-Anak Yatim yang terletak di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.

Kehadiran kami ke sana untuk memberikan keceriaan kepada kanak-kanak ini dengan cara mengambil gambar telatah mereka dan menghadiahkan gambar tersebut kepada mereka. Itu yang termampu kami lakukan. Ternyata penghuni Rumah Ilham ini mudah menguntum senyuman dan tidak henti-henti ketawa serta bergurau. Kan, mereka punya perasaan! :)

*penghuni Rumah Ilham*
*gambar wajib. abaikan muncung itikku. hehe*

Hari ini mungkin hari mereka dan tidak mustahil esok kita pula berada di tempat mereka. Makanya bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan sayangi ibu bapa kita :)

coretan Eylin.
p/s : Selamat Hari Merdeka!!~

No comments: