Wednesday, 29 September 2010

Impian atau hanya mimpi?

Orang kata hidup mesti ada impian besar. Semakin besar impian kita, semakin tinggi arah dan hala tuju yang bakal kita capai. Jangan letak yang rendah-rendah, nanti kita pudar dan tak percaya diri.

Bagi aku, intinya hanya satu. Tidak salah untuk kau memasang impian tinggi-tinggi kerana kau boleh berlatih meloncat, malah berlatih terbang untuk meraih impian tinggi kau.

Tapi ada orang kata jangan pasang impian tinggi-tinggi, nanti kelak baru kau sedar ia hanya mimpi. Mimpi yang tidak akan dapat kau gapai. Mimpi yang kau hanya dapat lambai. Kemudiannya kau, mimpi dan impian kau sama-sama tersadai.

Sedih bukan, bila kau memasang impian tetapi orang sekitar kau menganggap itu angan-angan? Kata mereka, angan-angan kau hanya untuk dibawa lelap. Jangan bermimpi setinggi langit, bila kaki kau belum layak untuk jejak awan.

Ada yang berpendapat bercakap dan bermimpi itu lebih mudah. Semudah bernafas. Lidah tidak bertulang. Mimpi tidak bernyawa. Cakap memang senang. Tapi kau tidak akan pernah merasakan nikmatnya manis jika tidak pernah merasai apa itu pahit.

Aku tidak menganut prinsip 'seperti air mengalir', memasrahkan segalanya pada keadaan. Ada perkara kita boleh tentukan, kita boleh memilih. Mimpi dan impian boleh berjalan seiringan. Sama sekaki, sama selangkah.

Aku sedar tidak ada hal hebat tercipta dalam sekejap. Tetapi jika kau kejar, kau tiada alasan untuk berhenti berharap pada impian si pemimpi ini.

Tetapi jika kau sanggup membiarkan aku terimpi-impi, makanya biarkan aku terus dibuai dengan mimpiku kerana itu lah impianku.

Jangan kejutkan aku. Aku keliru antara impian dan mimpi.

Eylin

No comments: