Sunday, 24 October 2010

Makan Malam Hari Ahad Yang Sempurna?

Kau tengok jam dah pukul 7 malam. Dan kau rasa perut kau amat perlu diisi dengan sesuatu kerana ia dah mula merintih kelaparan. Maklumlah berdiet. Malah kau juga tahu, kau tak perlu turun ke food court bawah kerana kau tahu, teman baik kau akan bawakan makanan.

Dan kau berasa bersyukur kerana itu. Kau bercadang untuk makan sambil tengok cerita hantu yang tidak berapa seram itu.

Tapi tak mengapa, sebab kau tahu, nasi ayam itu, bersama potongan-potongan ayam, sup dan sambal itu akan tetap bersemadi di dalam perut kau. Juga terdapat lontong goreng yang dah lama tak kau rasa, hadir memeriahkan menu makan malam ini. Dan, sebotol sirap sebagai pembasah tekak.

Jadi, kau berfikir, hari Ahad yang indah, dan selalu harus jadi begini. Kecuali teman baik kau bawak lauk sayur sebab kau tak suka sayur. Potong stim.

Kemudian, apa yang kau tahu, teman baik kau dah mula keluarkan makanan, dan kau bergegas mengambil pinggan di dapur. Makan malam percuma sambil menyaksikan cerita hantu, juga percuma dipinjam dari akak sebelah rumah.

Perkara kemudian yang kau tahu, kau sudah kekenyangan, dan bersandar di dinding sambil berangan-rangan.

Sambil menonton televisyen, kau minum air sirap yang sudah berpindah sedikit dari botol ke dalam cawan jernih kau.

Kau rasa ianya hidangan makan malam yang cukup sempurna?

Bila kau ingin meneguk air sirap di cawan kau buat kali kedua kau baru perasan sesuatu di dalam cawan kau.

Seekor anak lipas yang kecil, hampir saja kau tak perasan, sedang bersemadi dengan tidak aman di dalam cawan kau. Dan kau tahu, bangkai itu telah hampir sebati dengan air sirap kau, kerana warna lipas kecil itu hampir kemerah-merahan. Menandakan bahawa lipas itu bukan termasuk di dalam cawan kau, tetapi botol yang berisi air sirap itu.

Dan kau pandang botol itu. Lebih dari separuh isipadu di dalam botol itu telah hilang. Hilang menerusi tekak kau, dan juga teman baik kau.

Kau beritahu teman baik kau, dia dengan yakin menyatakan lipas jahanam itu bukan berasal dari botol itu. Separuh jiwa kau berbelah bagi? Setengah untuk mempercayai kenyataan teman baik kau, dan separuh lagi kuat menyatakan ianya memang berasal dari botol itu.

Tapi, beberapa ketika kemudian kau nampak teman baik kau pergi ke dapur untuk membuang air sirap yang masih berbaki di dalam botol itu sambil mengeluarkan isi anak tekak dia.

Dan kau rasa ianya masih makan malam hari Ahad yang cukup sempurna?



No comments: